THANK YOU FOLLOWERS !

Wednesday, March 16, 2011

Mendalami Sejarah Underground DiMalaysia ...

Dari konotasi perkataan/frasa 'underground' ini pasti terwujud pelbagai imejan di dalam minda. Malah jika diterjemah secara terus, ia menghasilkan maksud yang sangat mudah untuk difahami semua. Tetapi yang pastinya konotasi kata ini mungkin lebih bererti sekiranya diajukan kepada anak remaja moden kini. Secara tak langsung, terma underground ini dihubungkan terus dengan muzik. 'Lifestyle' anak muda yang punya jiwa protes terhadap arus konvensional muzik semasa. Daripada zaman pencetusan aliran underground hinggalah sekarang, banyak perubahan telah berlaku. Tidak salah juga jika mengatakan sejarah muzik underground di Malaysia ini mewujudkan impak yang signifikan kepada corak pemikiran, gaya hidup malahan identiti budaya anak muda moden Malaysia.




Dipercayai pergerakan underground ini mula bertapak di Malaysia sekitar penghujung tahun 80’an. Selaras dengan perkembangan sosio-budaya anak muda dunia ketika itu yang dahagakan kebebasan dan tidak begitu menyukai ideologi golongan konservatif yang menghimpit. Maka tidak terkecuali juga anak muda moden di Malaysia sendiri. Muzik bagai menjadi salah satu bentuk wadah ekspresi jiwa yang melegakan. Jika disingkap kembali kepada senario hiburan tempatan pada waktu itu adalah tersangat menyedihkan kerana penguasaan golongan karyawan yang tidak punya sensiviti kepada progresi evolusi corak hidup alternatif, golongan muda/remaja. Sebahagian besar karya muzik mainstream yang diciptakan itu perlu berlandaskan kepada nilai komersil dan ini begitu menyesakkan citarasa golongan muda yang ingin sekali mencari kelainan. Sebut sahaja dari segi citarasa muzik, filem mahu pun budaya hidup, jelas golongan anak muda moden mahukan sesuatu yang mungkin tiada nilai komersil langsung tetapi kuat ciri estetikanya. Bertitik tolak dari kemunduran dunia muzik tempatan, maka kelahiran aliran corak hidup alternatif melalui dunia muzik dilihat sebagai satu cetusan budaya pop yang menjana pengikutnya sendiri. Pada waktu itu rasanya kemeriahan dan keakraban sesama pengikut 'undergrounders' terasa utuh kerana bersemangat tinggi untuk mewujudkan dunia muzikal mereka sendiri. Tiada sebarang sempadan yang menghalang mereka dari menikmati alunan protes dan kekerasan dari pemuzik bermahzabkan underground kerana ia turut terkandung bersama cetusan hati dan jiwa pemberontakan remaja pada waktu itu.




Turut sama lahir seiring dengan cetusan ini adalah kepelbagaian corak genre muzik tempatan. Daripada golongan pendengar muzik Melayu yang terkenal sinonim dengan irama leleh maka pencetusan genre muzik dari aliran kumuh Rock n’ Roll seperti Heavy, Speed dan Death Metal bagaikan mantra anak muda. Boleh dikatakan eksistensi gig-gig muzik underground muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan . Walaupun dijalankan secara kecil-kecilan di kelab malam atau pub-pub sekitar kota, namun kehadiran pengikutnya makin bertambah dan secara tak langsung gerakan ini boleh dikatakan mencapai status 'cult'. Kemasukan era 90’an, terasa benar-benar memberi impak yang besar. Jelas dari perubahan arah muzikal ketika itu turut sama mempengaruhi gaya hidup terkini dengan kelahiran generation-x yang membuahkan genre muzikal seperti 'alternative', 'grunge', 'indie', 'brit pop', 'punk', 'skin', 'hardcore' dan pelbagai lagi. Ia bagaikan virus yang pantas menular di kalangan remaja sekolah untuk turut sama mengikuti trend muzikal terbaru hasil import dunia hiburan antarabangsa. Kemeriahan begitu terasa, malah semakin banyak pula band-band gagasan anak muda Malaysia yang hebat wujud pada waktu itu seperti O.A.G, Spiral Kinetic Circus, Carburetor Dung, Butterfingers, Namesis, The Pilgrims, A.C.A.B dan banyak lagi. Sekitar pertengahan 90'an, industri muzik underground tempatan bagaikan mencapai kemuncaknya kerana semakin banyak penganjuran gig-gig dilakukan di luar daripada ibu kota. Pulau Pinang , Perak dan Johor Bharu turut sama mempunyai pengikut undergrounders tersendiri dan hampir setiap hujung minggu pasti ada sahaja gig-gig yang dianjurkan oleh kumpulan underground tempatan.





Apa yang membanggakan adalah kunjungan secara rasmi kumpulan–kumpulan muzik antarabangsa seperti Third Eye Blind dan Fugazi ke Kuala Lumpur untuk memenuhi undangan bermain muzik di Fire Discotheque. Penganjurannya dilakukan secara serba serderhana tetapi tetap mendapat sambutan yang menggalakkan daripada khalayak undergrounders Malaysia. Tidak ketinggalan, pergerakan muzik underground Malaysia ini pernah mendapat liputan yang khusus daripada majalah US berpengaruh seperti Rolling Stone. Pada edisi 528, November 1996, wartawan David Wright-Neville menulis satu halaman penuh tentang cetusan kelahiran budaya underground. Boleh juga disemak pada halaman 39, beliau menamakan tajuk artikelnya sebagai "The Rebels of KL: Malaysian subcultures are smashing stereotypes with their own brands of punk rock and grunge." Jadi disini saya mengambil satu petikan komentar beliau berkenaan tajuk di atas.



"If there is any truth to the maxim that the more oppressive the dominant culture the more creative the subcultures, then tonight's gathering of punks, skin heads, dreads, and doyen of grunge speaks volumes about modern Malaysia. There are Malays, Chinese, Indians and a smattering of Eurasians, all gathered in an almost celebratory atmosphere which certainly speaks well of Malaysia's ability to manage its once explosive ethnic mix." Malangnya pandangan positif diatas tidak selalunya dikongsi bersama wartawan akhbar perdana Malaysia. Pernah tercetus satu kontroversi yang mengemparkan negara akibat daripada kewujudan budaya underground suatu waktu dahulu. Ia dijadikan satu isu sensasi negara kerana akhbar tersebut menampilkan foto seorang pemuda skin yang sedang asyik berpogo di salah satu gig di ibu kota. Isu laporannya benar-benar memberikan pandangan yang negatif kepada masyarakat dan secara tak langsung remaja Malaysia dituduh menghadapi krisis moral yang parah. Maka semenjak dari insiden itu juga semakin banyak gig-gig muzik underground diserbu polis atas arahan pihak atasan kerana khuatir dengan tahap keruntuhan moral anak muda. Pelbagai penyakit sosial turut dibangkitkan seraya dengan penglibatan ramai remaja yang gemar mengunjungi gig-gig ini.




Semenjak dari insiden itu, maka pergerakan golongan underground menjadi sedikit mundur. Penganjuran gig juga semakin berkurangan walaupun kadang kala setiap bulan pasti ada juga penganjurannya. Maka dari sini terkesan kemunduran dari segi pengelolaannya dan bertambah parah banyak pula band-band yang menemukan titik noktah berkarya mereka di persada underground. Tambah memeritkan adalah apabila insiden Black Metal yang disensasikan oleh pihak akhbar 2 tahun yang lalu ... Akibatnya senario muzik underground menghadapi kelesuan. Walaupun begitu, untuk mengatakan scene underground telah berkubur adalah satu pernyataan yang mengundang kecelakaan kerana ia masih bernyawa dan akan terus wujud selagi ada golongan generasi muda. Jika diperhatikan sekarang (setelah hilangnya badi insiden Black Metal), senario underground kembali mengelegak. Tetapi intensiti dan penyatuan kelompoknya tidak seperti pada zaman permulaannya. Kini lebih banyak gig yang dilakukan atas dasar berpuak-puak mengikut genre muzikal yang tersendiri. Tiada lagi ‘unity’ yang sering dilaung-laungkan dahulu. Kalau diukur pula dari segi prestasi dan penguasaan muzikal memanglah amat membanggakan. Begitu ramai pemuzik muda generasi pelapis memiliki penguasaan dan kefahaman yang baik di dalam soal teknikaliti mereka untuk bermuzik.



Dan isu terakhir yang menjadi kudis adalah soal pengurusan sesebuah show,gig atau konsert yang melibatkan nama-nama kumpulan underground. Sikap para penganjur kadang kala amatlah menyedihkan kerana yang dikejar adalah potensi komersil semata. Mereka bijak memanipulasi keadaan atau etika undergrounders bagi memenuhi keuntungan yang membuah kepada poket di samping tidak memandang serius kepada 'equipments' instrument muzik dan juga 'welfare' sesebuah band. Ada kalanya bayaran upah yang diberikan kepada band juga mengecewakan dan hanya cukup makan. Jika dilihat dari sudut kewangan memang bukanlah soal pokok, tetapi setiap dari anggota band-band perlulah diberi imbuhan yang seimbang dengan perkhidmatan mereka menghiburkan khalayak. Jika keadaan ini berterusan, munkin senario muzik underground tidak mungkin mengalami evolusi sikap dan perubahan yang boleh dibanggakan.



Dipetik dari : Tokeikedai.net.my


Assalamualaikum..Salam Ukhuwah...  

No comments:

Post a Comment